KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik komputer dihadapkan ke Mahkamah
Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan dengan sengaja mencederakan
teman wanitanya, minggu lalu.
Hazmi Mohamed, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta
dibicarakan terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di
hadapan Majistret Azmil Muntapha Abas.
Mengikut pertuduhan, Hazmi didakwa dengan sengaja mencederakan Intan Syazliz Mohd Pilus, 24, di No 1, Jalan Amzil, Taman Changkat Desa, Sentul di sini pada jam 12.30 tengah malam, 7 Oktober lalu.
Difahamkan, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat insurans mengalami luka dan lebam di bahagian badan.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mencadangkan jaminan RM3,000.
Bagaimanapun, Hazmi yang diwakili peguam bela Nurain Jaafar memohon
jaminan itu dikurangkan kerana ayah tertuduh yang berhasrat menjadi
penjamin sudah tidak berkerja dan hanya menggunakan wang pencen untuk
menyara keluarga.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes.
Sumber : Akhbar
No comments:
Post a Comment